PDRM tunggu laporan Polri status nombor telefon ancam LNG di Bintulu - KPN

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) berkaitan pemilik nombor telefon dari negara itu yang dipercayai digunakan bagi mengancam fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil keterangan yang diperoleh mendapati nombor telefon yang menghantar mesej ugutan itu dipercayai berasal dari negara jiran.

Iklan
Iklan

“Susulan itu, kita perlu mendapatkan bantuan pihak berkaitan bagi mengesan asal usul pemilik nombor yang menghantar mesej terbabit.

“Pihak kita telah berhubung dengan Polri dan sedang menunggu maklumat daripada pihak sana, ia memerlukan sedikit masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi ke-6 2025 di Maktab PDRM di sini pada Khamis.

Iklan

Tambah Mohd Khalid, PDRM sedang bekerjasama dengan semua agensi keselamatan dalam negara selain Petronas berkaitan kes terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan kakitangan Petronas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang didakwa menggunakan nombor telefon dari Indonesia bagi mengancam fasiliti LNG di Bintulu, Sarawak.

Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menghantar mesej terbabit.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan.

MKN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung ancaman berkenaan.