KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi penguat kuasa menjalankan operasi bagi melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dengan perintah pengosongan dikeluarkan oleh mahkamah.
"Kita (pihak polis) bersama beberapa agensi berkaitan bertindak sebagai pasukan penguat kuasa bagi memastikan pelaksanaan pengosongan ini berjalan lancar.
"Apa pun cabaran yang timbul, pengosongan berkenaan tetap perlu dibuat hari ini mengikut perintah mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di tapak operasi perlaksanaan writ berkenaan di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis.
Fadil berkata, terdapat sebahagian kecil penduduk yang terbabit belum bersedia untuk berpindah, namun usaha sedang dilakukan untuk mempermudahkan urusan mereka.
"Walaupun ada yang memberi alasan untuk menangguh atau meminta masa tambahan, namun proses berkenaan perlu diselesaikan hari ini.
"Kita cuba menguruskan keperluan penduduk, namun pada masa sama perlu memastikan perintah mahkamah dipatuhi dengan operasi berkenaan mesti diselesaikan petang ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.