KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai mencetuskan provokasi serta kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, termasuk orang luar yang hadir bagi mencetuskan provokasi sehingga mencederakan seorang pegawai polis dalam insiden terbabit.
"Saya cukup marah apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera dibaling objek dalam insiden tersebut.
"Ini bukan perkara kecil dan saya akan pastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan tegas,” katanya ketika sidang media di lokasi operasi.
Fadil berkata, polis telah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.
"Dalam insiden itu (rempuhan), ada beberapa individu yang ditahan dan kes ini akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, pegawai polis yang cedera sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala seorang individu lain difahamkan mengalami kecederaan ringan.
"Saya tidak menolak wujud penglibatan pihak luar yang hadir ke kawasan ini dan cuba menimbulkan provokasi.
“Semua pihak perlu faham ini adalah proses undang-undang, bukan tindakan sesuka hati,” jelasnya.
Tambah beliau, polis bersama agensi berkaitan tetap akan membantu penduduk yang mempunyai kesukaran berpindah, termasuk golongan warga emas.
Setakat tengah hari, keadaan masih terkawal namun polis menegaskan tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang berdegil atau melanggar undang-undang sepanjang operasi berlangsung.
Terdahulu, isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru mencetuskan kontroversi apabila sebahagian penduduk, khususnya penghuni rumah teres, menolak kadar pampasan RM400 bagi setiap kaki persegi seperti yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu telah bermula sejak tahun 2016 dan membabitkan keseluruhan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru.