Hari Malaysia: Jom singgah di hentian bersejarah sepanjang Lebuhraya Pantai Timur

Iklan
Muzium Sungai Lembing. Kredit: AFA PRIME Berhad

MENJELANG sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjadi antara laluan pilihan kebanyakan orang untuk pulang ke kampung dan menikmati waktu percutian.

Namun di sebalik jalan bertol dan hamparan asfaltnya, lebuh raya ini bukan sekadar menghubungkan destinasi malah menyatukan kita dengan sejarah, warisan serta semangat perpaduan dalam kepelbagaian.

Iklan
Iklan

Diuruskan AFA PRIME Berhad (sebahagian daripada Kumpulan AFA), Lebuhraya KL–Karak dan LPT1 sebenarnya menjadi pintu masuk kepada khazanah budaya negara yang bermakna, hanya beberapa kilometer dari jalan utama.

Dari bandar perlombongan dan muzium diraja, ke kuil bersejarah, kampung kraf hinggalah ke galeri kartun, setiap hentian ini mengingatkan kita bahawa keindahan Malaysia bukan hanya pada bangunan pencakar langitnya tetapi juga pada akar sejarah, kisah dan rakyatnya.

Iklan

Berhentilah sejenak dalam perjalanan dan singgahlah di beberapa hentian sepanjang Lebuhraya KL–Karak dan LPT1 dan anda mungkin menemui secebis sejarah Malaysia yang menyingkap tradisi abadi, budaya meriah dan cerita yang menanti untuk dikongsi semula.

Berikut adalah beberapa hentian sarat dengan warisan di sepanjang lebuh raya ini yang berbaloi untuk dikunjungi.

Iklan

1. Sungai Lembing: Gema Bijih Timah dan Masa

Pernah digelar sebagai “El Dorado Timur,” Sungai Lembing merupakan peneraju industri perlombongan bijih timah dunia pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Hari ini, terowong perlombongan yang dipulihkan, rumah pekerja lombong, serta Muzium Sungai Lembing membawa pengunjung kembali ke era di mana pekerja migran dari China dan India hidup bersama masyarakat Melayu tempatan, membentuk fabrik budaya majmuk yang terus mewarnai Malaysia hingga kini.

2. Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan. Kredit: AFA PRIME Berhad

Terletak di sebuah bangunan kolonial yang bersejarah, muzium ini mempamerkan perjalanan warisan diraja Pahang serta sejarah silang budaya.

Pengunjung berpeluang melihat koleksi warisan keluarga diraja Pahang, senjata tradisional Melayu, dan porselin purba dari China.

Muzium ini merupakan jendela unik kepada sejarah pertukaran budaya yang membentuk Pantai Timur.

3. Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah

Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah. Kredit: AFA PRIME Berhad

Perkampungan kraf di Pulau Keladi ini mengetengahkan legasi seni pertukangan Pahang.

Pengunjung boleh menyaksikan secara langsung proses tenunan sutera Tenun Pahang Diraja, mencuba aktiviti batik dan ukiran kayu, serta meneroka rumah tradisional kampung.

Ia juga merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, menjadikannya destinasi yang kaya dengan warisan seni dan sejarah.

4. Kuil Sri Marathandavar Aalayam Maran

Kuil Sri Marathandavar Aalayam Maran. Kredit: AFA PRIME Berhad

Berusia lebih daripada satu abad, kuil Hindu yang didedikasikan kepada Dewa Murugan ini dibina mengelilingi sebatang pokok suci yang dipercayai mempunyai kuasa keramat.

Dengan gopuram yang berwarna-warni dan perayaan meriah seperti Panguni Uthiram, kuil ini menarik ribuan penganut setiap tahun.

Lebih daripada sekadar rumah ibadat, ia menjadi bukti akar budaya mendalam komuniti Tamil Hindu di sepanjang Lebuhraya LPT1.

5. AZA Galeri

AZA Galeri. Kredit: AFA PRIME Berhad

Bagi pengalaman yang santai tetapi sarat budaya, singgahlah di Galeri Kartun AZA.

Ditubuhkan oleh kartunis terkenal, Aza, galeri ini meraikan warisan kartun negara melalui pameran, bengkel karikatur, serta lebih 20,000 karya arkib.

Daripada sindiran politik hingga humor kehidupan seharian rakyat Malaysia, galeri ini mengingatkan kita bahawa seni juga sebahagian daripada kisah kebangsaan.

Ia cara yang menyamankan untuk meraikan semangat Hari Malaysia dengan gelak tawa, renungan, dan kreativiti.