[VIDEO] PM beri amaran keras kepada peserta Himpunan Anti Rumah Anutan Haram

Iklan

AMPANG JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram malam ini agar tidak mencabar undang-undang atau cuba mengganggu-gugat keselamatan awam.

Anwar menegaskan, kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kata beliau, apa-apa perbuatan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum bakal berdepan tindakan tegas.

“Kita lebih bebas sekarang. Nak beri pandangan boleh, nak kritik boleh.

Iklan

"Tetapi, kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua PKR Cabang Klang, Azmizam Zaman Huri dan ramai lagi.

Iklan

Anwar turut meminta peserta perhimpunan supaya tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa, dalam masa sama menyeru untuk tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.

“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis dan jangan cuba ambil alih tugas polis,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menyatakan pendirian tidak setujunya dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut undang-undang sambil menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” jelas Anwar lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, pihaknya tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat susulan risikan keselamatan dan maklum balas pihak terlibat, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi.

Bagaimanapun, penceramah bebas kontroversi yang juga penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth pada Jumaat malam menegaskan, perhimpunan itu tetap diteruskan.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, polis akan bertemu dengan pihak penganjur untuk meminta mereka membatalkan perhimpunan memandangkan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari bermula hari ini.