Tanggungjawab wakil rakyat 'kejar' pemaju pastikan projek siap ikut jadual - Armizan

Iklan
Armizan ketika merasmikan majlis pecah tanah lot kedai di Kinarut, Papar pada Sabtu.

PAPAR - Wakil rakyat harus berperanan memastikan pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti bekalan air dan jalan raya diselesaikan memgikut jadual, selari dengan pembangunan yang dibawa di sesebuah kawasan di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini bagi memastikan projek pembangunan yang sedang rancak berjalan seiring dengan keperluan masyarakat setempat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada memastikan semua projek sedia ada dapat disiapkan mengikut jadual, selain mengenal pasti keperluan penambahbaikan bagi menampung keperluan jangka panjang.

"Yakin atau tidak, kami wakil-wakil rakyat kena selesaikan itu satu keperluan dan tanggungjawab kami adalah untuk 'kejar', bagi memastikan projek yang sedang berjalan siap mengikut jadual.

Iklan

"Kedua, kita juga melihat apa lagi penambahbaikan yang perlu dibuat. Di Papar, kita hanya bergantung kepada sungai sebagai sumber air mentah dan ia tidak mampan.

"Sebab itu kita bertemu Ketua Menteri dan beliau meluluskan pembinaan pengambilan air kedua di Kampung Kabang sebagai tambahan kepada sumber sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah lot kedai di Kinarut, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Mengulas mengenai isu jalan raya pula, beliau berkata peruntukan telah diluluskan bagi projek naik taraf laluan dari Bulatan Sabindo hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, yang dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Namun, beliau menegaskan keperluan perancangan susulan perlu dibuat, termasuk cadangan penambahbaikan laluan dari SMK Kinarut itu ke kawasan berhampiran bagi mengelak berlakunya kesesakan pada masa depan.

"Komponen projek itu perlu kita 'kejar' untuk mendapatkan peruntukan kerana ia berpotensi menjadi ‘bottleneck’ pada masa akan datang," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai majlis yang dirasmikannya, beliau turut menyeru pemaju supaya memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja bersifat lestari, malah mengambil kira keperluan komuniti setempat, khususnya dengan menyediakan ruang riadah awam untuk kegunaan keluarga dan orang ramai.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan mengutamakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sambil menjelaskan bahawa pendekatan tersebut dapat mengurangkan kos sara hidup, memberi manfaat langsung kepada anak tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat yang lebih seimbang dan inklusif.