SEREMBAN - Semua pihak perlu menangani isu rumah ibadat haram secara bijaksana dan tatasusila (bil-hikmah wabilhasanah).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sememangnya memberi perhatian terhadap isu tersebut dan telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi semua pihak.
"Kita mesti menangani perkara ini secara 'bil-hikmah wabilhasanah', ertinya mesti harus ada kebijaksanaan dan tatasusila.
"Biarpun kita tahu mereka tidak mematuhi syarat-syarat itu, tetapi ada kaedah-kaedah perundangan dan kebijaksanaan yang kita lakukan," katanya ditemui pemberita sempena program 'Road To Ramadan' Negeri Sembilan di Masjid Kariah Pantai di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penganjuran Himpunan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini.
Himpunan itu bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Tegas Ahmad Zahid lagi, sebarang penggunaan tanah milik syarikat, individu atau kerajaan negeri perlu mendapat kebenaran sewajarnya bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Ujarnya, beberapa garis panduan telah dikoordinasikan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di setiap negeri bagi memastikan semua pihak mematuhinya.
"Saya berharap jangan ada satu tindakan agresif yang akan menyebabkan masalah lain timbul.
"Kerajaan sangat prihatin terhadap isu itu dan ada kaedah yang harus diikuti oleh semua pihak," katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memberitahu yang Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta beliau memberi perhatian berhubung agenda Islam dan Melayu.
Namun katanya, agama dan bangsa lain tidak akan diketepikan.
"Keharmonian, kepelbagaian agama dan bangsa harus dihormati kerana telah ditentukan negara kita ini terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan sempena Ramadan Dewan Undangan Negeri(DUN) Lenggeng kepada masjid dan surau, anak yatim serta pusat tahfiz.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.