'Kahwin di Thailand bukan perkara main-main, fikir panjang dulu'

Iklan
Marhamah (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Abdullah Zuhdee Ab Halim (dua, kanan) kepada Ketua Eksekutif YAATIM, Mukhtar Ismail (kiri) pada Majlis Perasmian Program Ihya Ramadhan dan Pelancaran Program Pendidikan YAATIM 2026 di YAATIM, Kota Bharu, pada Sabtu.

KOTA BHARU - Pernikahan di Thailand yang tidak didaftarkan di Malaysia menjejaskan status sah suami isteri di sisi undang-undang negara, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai komplikasi serius yang memberi kesan besar kepada keluarga, termasuk nasab dan masa depan anak-anak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, isu tersebut bukan perkara baharu, namun masih berlaku walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.

Iklan
Iklan

“Perkara ini bukan baru dan pihak agensi tidak pernah berhenti untuk memberikan kefahaman serta kesedaran. Terlalu banyak inisiatif yang dijalankan oleh agensi untuk memastikan atau mengekang perkara ini,” katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Program Ihya Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM) 2026 di YAATIM, di sini.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu perkahwinan di Thailand yang saban tahun melibatkan ramai pasangan Malaysia, termasuk kes-kes yang didakwa tidak berdaftar di negara ini sehingga menimbulkan masalah apabila status perkahwinan disahkan tidak sah dan ada pasangan terpaksa dipisahkan walaupun sudah mempunyai anak.

Menurutnya, pendekatan yang sedang dan akan terus diambil kerajaan ialah dengan melaksanakan semua perancangan yang telah dirangka secara berterusan, selain memperkukuh usaha pencegahan melalui kesedaran masyarakat.

Iklan

“Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah terus melaksanakan apa sahaja yang sudah dirancang dan kita mohon juga kepada orang ramai supaya berfikir panjang dahulu kerana ini bukan perkara main-main,” katanya.

Beliau menegaskan, isu perkahwinan tidak sah bukan sekadar melibatkan pasangan, tetapi memberi kesan besar kepada keturunan dan masa depan generasi seterusnya.

“Ini melibatkan keturunan dan ia perlu diambil serius. Insya-ALLAH, di peringkat agensi dan Jabatan Hal Ehwal Agama, kita beri komitmen penuh untuk sama-sama mengekang perkara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ramai pasangan Islam dari Malaysia berkahwin di Thailand tidak mendaftarkan perkahwinan di tanah air sehingga menimbulkan kerumitan selepas mereka mendapat zuriat.

Selain bimbang diketahui isteri pertama bagi lelaki yang menambah pasangan hidup dengan berpoligami di Thailand, punca lain menyebabkan mereka tidak mendaftar perkahwinan di Malaysia adalah kerana krisis dengan keluarga atau kekangan kewangan.