IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengalu-alukan langkah UMNO menubuhkan pasukan khas bagi membincangkan penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Beliau berkata, sebagai rakan komponen kerajaan, beliau terbuka menerima sebarang pandangan daripada semua pihak termasuk UMNO dan parti pembangkang asalkan cadangan itu dibuat secara ikhlas demi kepentingan rakyat.
"Sekiranya pendapat itu jujur dan ikhlas, kita sedia untuk berbincang. Apa-apa idea yang bernas, kita akan terima pakai kerana niat kementerian adalah murni bagi mewujudkan akta ini untuk membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani di sini pada Sabtu.
Keempat-empat Taman Rekreasi Madani berkenaan iaitu di Taman Pusing Baru, Taman Kledang, Taman Pengkalan Barat dan Taman Westpool yang siap sepenuhnya pada Julai lalu itu berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, setakat ini KPKT sudah mengadakan 108 sesi libat urus bersama pelbagai pihak berhubung PSB.
Malah katanya, RUU itu juga sudah tiga kali mendapat kelulusan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang turut dianggotai Menteri Besar serta Exco kerajaan negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.
"Saya nak maklumkan, 534 kawasan sudah dikenal pasti dan diwartakan oleh kerajaan negeri termasuk 55 kawasan di Kedah, 22 di Terengganu dan empat di Kelantan. Semua ini dicadangkan, dipersetujui dan diwartakan oleh kerajaan negeri sendiri.
"Jadi tak logik kalau ada pihak membantah. Kamu yang cadang, kamu yang warta, tetapi kemudian kamu yang bantah. Itu tak masuk akal," tegasnya.
Timbalan Pengerusi DAP itu menambah, di bawah Akta PSB setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing.
"Saya selalu tegaskan, perkara baik wajib kita sokong dan dukung. Janganlah semua perkara baik pun kita politikkan kerana akhirnya ia merugikan rakyat yang tinggal dalam keadaan daif di kawasan terbabit," katanya.
Sementara itu, mengulas laporan mengenai lebih 30 juta kaki persegi ruang pejabat kosong di Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, undang-undang sedia ada hanya membolehkan pengambilan tanah, manakala bangunan pejabat berstrata pula memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik untuk ditukar guna.
Keadaan itu katanya, sering menggagalkan cadangan transformasi kerana walaupun majoriti bersetuju, hanya seorang yang membantah sudah cukup untuk menghalang projek.
"Kerajaan memang mahu membantu tetapi sukar tanpa kerangka undang-undang baharu. Itu sebabnya kita perlukan Akta PSB sebagai mekanisme jelas.
"Sekiranya idea ini berjalan (Akta PSB), kementerian boleh menggubal peraturan bagi memberi insentif kepada pemilik atau pemaju yang berusaha menghidupkan semula bangunan usang," katanya.
Menurut beliau, penukaran pejabat lama kepada kediaman mampu membawa penduduk kembali ke pusat bandar, mengurangkan kesesakan trafik selain mengelakkan bangunan usang menjadi pemandangan buruk dengan syarat semua pembangunan mematuhi aspek keselamatan termasuk Akta Perkhidmatan Bomba 1988.