KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi tidak berpuas hati dengan sikap platform media sosial TikTok yang dianggap tidak serius menangani isu dibangkitkan berhubung aplikasi tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak TikTok dilihat gagal menangani isu membabitkan platform itu, terutama masalah penipuan dan buli siber.
“Isu yang kita bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian. Saya meminta supaya pasukan TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa serta tindakan yang perlu mereka lakukan,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri pertemuan hampir sejam bersama pengurusan tertinggi TikTok di Bukit Aman pada Khamis.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; serta pengarah jabatan PDRM.
Menurut Fahmi, beliau sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius mengambil tindakan mengatasi masalah tertentu yang telah dibangkitkan sebelum ini.
“Satu contoh ialah apabila berlaku kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary Appahu atau ‘Esha’, TikTok menjanjikan jumlah moderator kandungan termasuk Live akan ditambah, namun gagal menyatakan jumlah sehingga kini.
“Kami sudah berkali-kali meminta jumlah moderator yang mengawasi kandungan berbahasa Tamil daripada pihak TikTok, tetapi tiada maklum balas,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya menerima aduan berhubung masalah buli siber membabitkan komuniti India di platform itu. Keingkaran mengatasi masalah tersebut boleh mengakibatkan TikTok dikenakan tindakan perundangan.
“Saya serahkan kepada MCMC untuk meneliti tindakan yang boleh diambil,” ujarnya.
Selain itu, Fahmi menegaskan semua platform media sosial termasuk TikTok wajib mematuhi undang-undang susulan peningkatan aduan mengenai kandungan berunsur maklumat palsu yang berleluasa.
“Pertemuan ini susulan beberapa aduan yang diterima PDRM dan MCMC berkaitan maklumat palsu.
“Kita telah menyampaikan mesej yang tegas bahawa semua platform media sosial wajib mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.