ISKANDAR PUTERI - Persembahan kuda kepang masih dibenarkan di Johor asalkan tidak mengandungi tiga unsur dilarang iaitu sajian kepada makhluk lain, pemujaan dan hilang kewarasan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengeluarkan garis panduan baharu bagi memastikan persembahan budaya itu serta aktiviti lain tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Katanya, garis panduan tersebut dibangunkan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan turut merangkumi aktiviti kebudayaan, silat serta sukan yang mungkin mempunyai unsur khurafat atau menyeleweng daripada akidah.
“Garis panduan ini akan melibatkan semua persembahan atau aktiviti yang mempunyai unsur sajian (kepada makhluk lain), pemujaan dan hilang kewarasan seperti permainan kuda kepang.
“Kita bukan nak hapuskan kuda kepang, tidak. Persembahan kuda kepang dibenarkan asalkan tidak mengandungi tiga unsur tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah di Eco Galleria pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, bagi membanteras kepercayaan dan amalan bertentangan dengan Islam, pihak JAINJ juga sedang menyiasat wujudnya perkhidmatan dukun yang didapati menyeleweng daripada akidah.
Beliau memaklumkan, JAINJ menerima kira-kira 10 aduan berhubung individu yang menggunakan khidmat dukun dalam tempoh dua tahun ini.
“Saya difahamkan masih ada yang bertemu dengan dukun-dukun. Ini pun hal-hal terpencil tetapi hendak tangkap susah. Kena ada aduan yang betul.
“Sebelum menangkap mereka, kita kena buat intipan. Kalau kita serbu dan tangkap sebelum pemujaan, memang tak nampaklah bukti pemujaan itu nanti,” katanya.
Selasa lalu, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat selepas terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang hadapan sebuah rumah di Jalan Pasar, Parit Raja antara jam 10 malam hingga 1 pagi.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi satu minit dalam media sosial yang memaparkan ritual tarian kuda kepang dikaitkan dengan amalan syirik di daerah Batu Pahat.
Rakaman tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil diiringi paluan gong serta alunan muzik, selain kelihatan dua lelaki seperti mengalami kerasukan.