Infrastruktur wajar dinilai semula susulan gegaran lemah - ADUN Sri Medan
Iklan
Gempa bumi lemah 2.9 magnitud direkodkan MetMalaysia di Sri Medan, Parit Sulong Batu Pahat pada Rabu.
BATU PAHAT – Kejadian gegaran lemah di Sri Medan pada Rabu seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengejutkan penduduk walaupun kesannya tidak dirasai.
Penduduk tidak menyangka gegaran yang sebelum ini berlaku di Segamat minggu lalu turut direkodkan di kawasan ini walaupun jaraknya puluhan kilometer dan diselangi beberapa penempatan lain seperti Chaah, Labis dan Muar.
Iklan
Iklan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, gegaran serupa pernah dikesan di Semerah pada 31 Ogos lalu apabila gempa bumi lemah berukuran 3.0 skala Richter berlaku di Selat Melaka pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 28 kilometer barat daya Batu Pahat.
“Bagaimanapun, kedua-dua gegaran itu tidak dirasai penduduk dan tidak menimbulkan sebarang keadaan membimbangkan.
Iklan
“Walau apa pun keadaannya, infrastruktur di kawasan Batu Pahat wajar dinilai semula dari segi ketahanan seismik walaupun risikonya rendah.
“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan kajian geofizik terhadap zon sesar di Johor selain MetMalaysia meneruskan pemantauan berterusan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Iklan
Beliau berkata, pihaknya juga akan memberi penerangan secara bersemuka kepada penduduk mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku gegaran lebih kuat pada masa akan datang.
Menurutnya, penduduk di Sri Medan masih menjalani aktiviti harian seperti biasa tanpa rasa bimbang.
“Sama-sama kita berdoa agar kawasan Sri Medan dan Batu Pahat khususnya terhindar daripada sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Pada petang Rabu, satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 direkodkan di Sri Medan, Parit Sulong.
Sebelum itu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lalu (magnitud 4.1); diikuti 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi, Sabtu (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara itu, gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 dilaporkan berlaku di Semerah, Batu Pahat pada jam 1.57 petang, Ahad lalu, menurut mesej pemberitahuan Google.
Kerajaan Johor buat pertama kalinya melantik 10 Timbalan Exco bagi memperkukuhkan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan dasar, projek dan program ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan pembangunan Johor yang semakin pesat.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/788914/edisi/johor/johor-cipta-sejarah-pertama-kali-lantik-10-timbalan-exco
opyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.