SUNGAI PETANI – Dana sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi mencantikkan lorong usang dan gelap kepada lokasi ikonik tumpuan pengunjung di bandar ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, dana melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) itu membabitkan lorong belakang Jalan Pengkalan dan Jalan Patani, yang dijangka menjadi tumpuan belia selepas kerja-kerja naik taraf dijalankan.
“Peruntukan RM500,000 ini untuk penyelenggaraan, baik pulih longkang, pencahayaan, lukisan mural dan dataran simen bagi menjadikan mini skatepark. Walaupun ia bukanlah skatepark sepenuhnya, tetapi berpadanan dengan dana yang kita ada,” katanya ketika hadir ke sesi penyerahan projek tersebut di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek; dan ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai.
Jelas Mohammed Taufiq, cetusan idea mencantikkan kawasan itu adalah hasil perbincangan bersama penduduk setempat dengan wakil rakyat bagi memberi keselesaan kepada peniaga selain menarik kedatangan pelancong.
“Fokus saya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk memastikan golongan belia tidak tertinggal dan sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat di samping memastikan ekonomi belia terus berkembang.
“Ekonomi belia antara faktor penyumbang kepada KDNK negara. Saya mahu jadikan kawasan ini sebagai ikonik, berkonsepkan Instagramable supaya anak muda, Gen Z dan milenial boleh datang mengambil gambar. Setiap lorong akan mempunyai konsep tersendiri mengikut kreativiti penduduk setempat,” katanya.
Jelasnya, setakat ini kira-kira 30 peniaga berniaga di lorong tersebut pada waktu malam dan kemeriahan lebih dirasai terutama ketika perayaan, cuti umum serta hujung minggu.
“Kita sudah berbincang dengan peniaga untuk mengadakan pasar karat dan lain-lain aktiviti. Mini skatepark ini diwujudkan supaya anak muda selain melepak dapat melakukan aktiviti positif.
“Sebelum ini kita bawa beberapa personaliti untuk memberi ceramah dengan pendekatan lebih santai kepada anak muda. Hasrat saya adalah untuk mengelak mereka terjebak dengan perkara negatif. Kita mahu jadikan tempat ini ‘happening’ tetapi dengan vibe yang positif,” katanya.
Terdahulu, Mohammed Taufiq mengetuai Konvoi Merdeka disertai 200 motosikal mengelilingi DUN Pantai Merdeka, Sidam dan Bakar Arang bagi membawa mesej mengibarkan Jalur Gemilang.
Dalam perkembangan berbeza, beliau turut mengajak orang ramai memeriahkan Program Madani Rakyat (PMR) yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Baling pada 6 September ini.