SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menyantuni orang ramai yang tidak melepaskan peluang bertemu dan bergambar bersama beliau di Langkawi Boulevard, Kuah, Kedah pada Ahad.
Menerusi perkongsian video di Facebooknya, bapa pemodenan itu tersenyum melayani kehadiran rakyat yang datang untuk bersalaman dan merakam kenangan bersamanya.
Suasana berlangsung dalam keadaan tenang apabila pengunjung daripada pelbagai lapisan usia dan kaum, termasuk warga emas, golongan dewasa serta kanak-kanak, bergilir-gilir mengambil gambar bersama negarawan berusia 100 tahun itu.
Walaupun berkerusi roda, Dr Mahathir tetap mengukir senyuman dan menyapa mereka yang hadir, sekali gus mencerminkan hubungan akrab yang masih terjalin antara beliau dengan rakyat.
Kehadiran beliau turut menarik perhatian pengunjung lain di pusat komersial berkenaan yang berhenti seketika bagi melihat lebih dekat figura yang sinonim dengan pembangunan negara itu.
Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan kini menjalani pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh ketika melakukan senaman di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu.