ALOR SETAR - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendahului senarai penerima darjah serta bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-84 di Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.
Sultan Sallehuddin berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (S.S.P.K) yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan kepada mereka.
Bagi penganugerahan Orang Besar Enam Belas, Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin dikurniakan gelaran Dato’ Jaya Perkasa manakala Datuk Tan Hong Eng menerima gelaran Dato’ Jaya Dermawan.
Bagi Orang Besar Tiga Puluh Dua, Datuk Mohamad Che Nai dikurniakan gelaran Dato’ Johan Bakti manakala Datuk Seri Boon Som Inong menerima gelaran Dato’ Biram Jaya.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad dikurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S) yang membawa gelaran Dato’.
Empat individu menerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) yang turut membawa gelaran Dato’, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Radzuan Osman; Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dr Abdul Salim Tajudin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah pula dikurniakan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (D.D.S.P) yang turut membawa gelaran Dato’.
Darjah Setia Sultan Sallehuddin Kedah (S.S.S) pula dianugerahkan kepada dua penerima, iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sebanyak sembilan individu menerima Darjah Setia Diraja Kedah (S.D.K), antaranya Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Subhi Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Maznim Ismail; Pengarah Jabatan Kerja Raya Kedah, Mohd Fisal Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Zulkifli Romli.
Turut menerima S.D.K ialah Timbalan Pengarah Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan, Dr Jamaliah Omar; Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Adam Mohd Zakaria; Pakar Perunding Kanan Bedah Umum Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Manisekar K Subramaniam; Pengerusi Real Estate and Housing Developers Association (REHDA) Kedah/Perlis, Yeoh Su Guan serta Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Ahli Mahkota Kedah (A.M.K) kepada 31 penerima, Ahli Setia Pahlawan (A.S.P, lima penerima), Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K, 31 penerima) dan Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M, 43 penerima).
Baginda turut menganugerahkan Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K) kepada lima penerima, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (P.C.K, 55 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K, 40 penerima) serta Pingat Perkhidmatan Lama (P.P.L, 15 penerima). - Bernama