ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan agar hak dan kuasa kerajaan negeri menguruskan hasil bumi termasuk Rare Earth Elements (REE) perlu dihormati semua pihak.
Baginda mengingatkan agar kerajaan negeri menguruskan kewangan secara berhemah dan mengambil tindakan untuk meningkatkan hasil negeri termasuk meneroka hasil bumi, REE.
"Sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan kaya dengan sumber hasil bumi, termasuk sumber mineral strategik seperti Rare Earth Elements atau REE, hak dan kuasa negeri untuk mengurus serta meneroka sumber hasil bumi, hendaklah dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak.
"Beta berkehendak Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama, dan memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri Kedah. Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan, hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik, sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri," titah baginda.
Titah itu disampaikan sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-84 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, di sini pada Ahad.
Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Dalam masa sama, Sultan Sallehuddin bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa.
Baginda turut mengingatkan agar kedaulatan negeri Kedah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, harus dihormati.
"Bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh kerajaan beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya.
"Dalam hal ini, beta mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut," titah baginda.
Baginda turut memaklumkan berhubung kelewatan projek infrastruktur sehingga membebani rakyat dan menjejaskan kesejahteraan penduduk.
"Dalam usaha memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat, beta memandang serius kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/ Anak Bukit, yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.
"Kelewatan ini mengakibatkan kejadian banjir yang berulang dan menjejaskan penduduk di kawasan terlibat. Beta mahu tindakan segera diambil agar rakyat Beta tidak lagi dibebani masalah yang sama.
"Beta juga mengambil maklum berkaitan inisiatif yang telah diambil dalam agenda pembasmian kemiskinan di negeri beta.
Inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan perlu memberi impak kepada rakyat agar kesejahteraan dapat dinikmati secara menyeluruh dan berpanjangan," titah baginda.