MELAKA - Polis Melaka melupuskan pelbagai jenis dadah berbahaya bernilai RM2.34 juta melibatkan 2,075 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah sejak tahun 2007 hingga kini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pelupusan julung kali dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka itu dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat berlesen yang mempunyai kepakaran serta peralatan khas dalam pelupusan bahan berjadual.
“Antara dadah yang dilupuskan ialah 87,659.48 gram dan 42,985.63 mililiter pelbagai jenis narkotik di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 315,764.74 gram dan 1,037,488.58 ml bahan larangan di bawah Akta Racun 1952.
“Daripada jumlah itu, syabu merupakan dadah paling banyak dilupuskan selain heroin, ganja, pil Erimin 5, ketamin, daun ketum dan beberapa lagi jenis bahan terlarang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Khamis.
Jelas beliau, kesemua barang kes tersebut telah dianalisis oleh Jabatan Kimia sebelum dimusnahkan mengikut piawaian alam sekitar yang ditetapkan, sekali gus menutup ruang ia kembali ke pasaran gelap.
Ujarnya, tindakan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengambil langkah proaktif memerangi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Dalam pada itu, Dzulkhairi menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.
“Saluran maklumat boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222. Kerjasama masyarakat amat penting untuk menjayakan misi membanteras dadah dan mewujudkan persekitaran lebih selamat,” katanya.