KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menjangkakan peningkatan jumlah trafik hampir dua kali ganda sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini berdasarkan analisis semasa aliran trafik harian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika ini jumlah kenderaan di ibu negara mencecah kira-kira tiga juta berdasarkan semakan sistem ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Semasa musim perayaan, jumlah ini dijangka meningkat hampir dua kali ganda dan ia menjadi cabaran utama kepada pihak polis,” katanya selepas ditemui ketika pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bagi memastikan operasi berjalan lancar, jumlah petugas boleh mencecah hampir 400 orang melibatkan pegawai dan anggota yang bertugas sepanjang masa.
“Anggota akan bertugas 24 jam sehari tanpa sebarang jurang bagi memastikan pemantauan trafik dan keselamatan awam berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan trafik akan dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan Op Selamat 25.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara lebih tegas bagi memastikan operasi ini memberi impak kepada keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kesesakan serta kemalangan.