Sesak luar biasa: Lebih tiga juta kenderaan masuk KL sejak 1 Februari

Iklan
Fadil memaklumkan lebih tiga juta kenderaan direkodkan memasuki Kuala Lumpur dalam tempoh 1 hingga 12 Februari lalu menyebabkan kebanyakan laluan utama mengalami kesesakan.

KUALA LUMPUR – Tumpuan orang ramai ke pusat beli-belah menjelang perayaan, kemalangan, halangan kenderaan pada waktu puncak serta faktor cuaca dikenal pasti sebagai penyumbang utama kesesakan trafik di beberapa jalan utama menuju ibu negara sejak beberapa hari lalu.

Situasi itu menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi lebih perlahan, khususnya pada waktu puncak pagi dan petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, berdasarkan data Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS), lebih tiga juta kenderaan direkodkan memasuki Kuala Lumpur dalam tempoh 1 hingga 12 Februari lalu.

Menurutnya, peningkatan mendadak jumlah kenderaan itu dipengaruhi pergerakan orang ramai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Iklan

"Menjelang perayaan, orang ramai memberi tumpuan ke pusat bandar dan pusat beli-belah bagi membuat persiapan, sekali gus meningkatkan aliran trafik.

"Dalam masa sama, kejadian kemalangan, halangan kenderaan ketika waktu puncak serta faktor cuaca yang menyebabkan pergerakan kenderaan lebih perlahan turut menyumbang kepada kesesakan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran beberapa acara rasmi peringkat kebangsaan turut memberi kesan kepada aliran trafik di ibu negara.

Katanya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung dari 10 hingga 12 Februari lalu memerlukan kawalan keselamatan ketat termasuk penutupan beberapa laluan utama.

"Kesesakan turut dipengaruhi faktor struktur jalan di beberapa lokasi selain peningkatan jumlah kenderaan secara berantai.

"Kemalangan yang berlaku di laluan utama memberi kesan langsung kepada kelancaran trafik dan boleh menyebabkan kesesakan berpanjangan," katanya.

Beliau berkata, susulan situasi itu, polis telah menempatkan anggota tambahan di lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.

"Penugasan itu tertumpu di kawasan pusat beli-belah serta laluan utama masuk dan keluar ibu negara.

"Tempoh pemantauan dan kawalan trafik juga dipanjangkan melepasi waktu puncak biasa bagi memastikan aliran trafik lebih terkawal,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama antara polis trafik, syarikat lebuh raya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus diperkukuh.

"Antara langkah diambil termasuk cadangan memanjangkan tempoh lampu isyarat di persimpangan berkapasiti tinggi.

"Maklumat trafik semasa turut disalurkan kepada pengguna jalan raya melalui paparan mesej elektronik (VMS) serta pemantauan berterusan juga dilakukan oleh Pusat Kawalan Trafik Kuala Lumpur (KLCCC),” katanya.

Beliau berkata, pasukan respons kecemasan turut bersiap sedia bagi mengendalikan kemalangan atau insiden di jalan raya dengan segera bagi mengelakkan kesesakan berpanjangan.

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran memaparkan peta trafik menunjukkan kebanyakan laluan utama di Kuala Lumpur berada pada tahap sesak dengan aliran trafik berwarna merah.

Paparan itu menunjukkan kesesakan ketara di kebanyakan laluan dalam pusat bandar yang menghubungkan kawasan komersial dan kediaman.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mendakwa kesesakan berlaku serentak di kebanyakan laluan utama.

Sebahagian pengguna mendakwa perjalanan menjadi lebih lama berbanding kebiasaan termasuk bagi penunggang motosikal.