KOTA KINABALU - Rasa tidak puas hati suspek terhadap tunangnya, termasuk penggunaan wang sepanjang tempoh pertunangan mereka sebelum mangsa akhirnya berkahwin dengan orang lain, dipercayai menjadi motif utama pembunuhan tragis yang melibatkan anggota badan dikerat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa berusia 44 tahun itu merupakan pemegang kad IMM13.
"Kita percaya bahawa motif kes bunuh ini lebih kepada perasaan cemburu dan tidak berpuas hati terhadap si mati.
"Suspek dan si mati mempunyai hubungan pertunangan, tetapi dalam tempoh pertunangan itu, mangsa telah menggunakan wang suspek kira-kira RM7,000 dan mereka tidak jadi berkahwin.
"Ekoran itu, mangsa telah berkahwin dengan orang lain sehingga menyebabkan suspek cemburu terhadap apa yang berlaku dalam hubungan mereka, seterusnya membawa kepada pertengkaran dan pembunuhan ini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.
Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, semasa kejadian mangsa telah pergi ke rumah suspek dan mereka masih berhubung.
"Dalam kejadian itu, suspek dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu parang.
"Setakat ini, dia mengaku memotong (mengkerat badan mangsa) dan suspek kedua merupakan anak suspek yang berada di lokasi kejadian.
"Menurut maklumat, dia berada di luar manakala pertengkaran berlaku dalam rumah," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan beberapa bahagian anggota badan ditemui di dua lokasi tempat pembuangan sampah di kawasan taman tersebut.
Antara anggota badan yang ditemui ialah bahagian tangan, kaki, badan dan kepala.