KOTA KINABALU – Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar negara dengan rampasan dianggarkan bernilai RM244 juta menerusi dua operasi berasingan di sekitar Sabah dan Selangor.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rampasan itu melibatkan dua operasi yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi lain iaitu Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2, yang menumpaskan pelbagai jenis dadah seberat hampir 3,780 kilogram (kg).
“Dalam Ops Coleoptera yang dilaksanakan pada 20 hingga 21 Januari lalu, ia membabitkan tujuh serbuan utama di Sabah dan Selangor.
“Serbuan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Penampang serta premis logistik di Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Teluk Sepanggar di sini.
“Operasi ini berjaya merampas sebanyak 3,043.5 kg methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, 4 kg cecair vape disyaki kokain dan 2.6 kg pil Eramin 5,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, rampasan dadah tersebut dipercayai mampu menjejaskan kehidupan kira-kira 16 juta individu sekiranya berjaya menembusi pasaran, sekali gus mengancam keselamatan dan kesejahteraan sosial negara.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, Ops Bayu 2 dijalankan pada 5 hingga 8 Februari lalu berjaya melaksanakan enam serbuan di Penampang dan Kota Kinabalu.
“Operasi ini membawa kepada rampasan 537.804 kg pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, serbuk ekstasi, pil ekstasi, ketamin dan Eramin 5 dengan nilai dianggarkan sebanyak RM69.66 juta,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua operasi itu menunjukkan modus operandi sindiket yang menggunakan laluan laut dan premis logistik sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
“Dalam operasi ini, polis turut menahan beberapa individu berusia antara 20 hingga 40-an serta menyita pelbagai jenis kenderaan dan harta bernilai jutaan ringgit bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.