215 GRO warga asing ditahan, 66 premis haram diserbu

Iklan
M Kumar.

KUALA LUMPUR – Seramai 215 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Ops Noda di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman bersama kontinjen negeri dengan memberi tumpuan kepada pusat hiburan tanpa lesen.

Iklan
Iklan

“Daripada 87 premis yang diperiksa, 66 dikesan beroperasi tanpa lesen sah. Hasil pemeriksaan, kita menahan pemilik premis, pekerja dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kumar berkata, pihaknya turut menahan 215 wanita warga asing terdiri daripada 76 warga Thailand, 65 warga Vietnam, 35 warga Indonesia, 28 warga Myanmar, lima warga China, empat warga Kemboja dan dua warga Laos berusia antara 22 hingga 38 tahun.

Iklan

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut pelbagai akta termasuk Akta Imigresen 1959/63 serta enakmen atau ordinan hiburan negeri,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan pendaftaran sah.

Iklan

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” ujarnya.