Kastam perketat kawalan 3 pintu masuk selepas 153 pangkalan haram diroboh

Iklan
Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang yang menerima laluan keluar masuk di sempadan negara di Kelantan. - FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID, gambar kecil: Wan Jamal Abdul Salam

PASIR MAS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan meningkatkan operasi kawalan di tiga pintu masuk utama di sempadan negeri itu susulan langkah pihak berkuasa merobohkan 153 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya sentiasa bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk jangkaan sindiket penyeludupan yang dijangka mengubah modus operandi dengan lebih banyak cuba menggunakan pintu masuk sah selepas laluan haram ditutup.

Iklan
Iklan

“Kami meningkatkan kawalan di tiga pintu masuk utama iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga serta Pengkalan Kubor.

“Langkah merobohkan pangkalan haram pastinya memaksa penyeludup mencari jalan lain namun kami di pihak JKDM sentiasa bersedia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, Rantau Panjang pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan merobohkan pangkalan haram kerana usaha tersebut akan mengurangkan ketirisan hasil negara.

“Apabila aktiviti penyeludupan dibanteras di peringkat awal, lebih banyak barangan perdagangan akan melalui saluran sah dan hasil cukai dapat dipertingkatkan,” jelasnya.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 153 daripada 212 pangkalan haram yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok akan dirobohkan dalam fasa pertama kerana dibina di atas tanah kerajaan.

Proses itu dijalankan secara bersepadu dengan penyelarasan Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Polis juga menegaskan bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi atau merosakkan papan tanda larangan yang diletakkan di lokasi terbabit.

Operasi merobohkan pangkalan haram di sempadan Kelantan–Thailand itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini.