SHAH ALAM - Enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman empat hari disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 berkaitan urusan lesen perniagaan.
Perintah reman sehingga 14 Februari terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50an itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di sekitar Lembah Klang.
"Siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan disyaki menerima wang rasuah daripada pemilik syarikat perniagaan sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.
"Selain itu, suspek juga dipercayai melindungi syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.
"Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat.
"Wang tersebut sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan serta melindungi syarikat terbabit daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.