[VIDEO] Lelaki baling kon di tol didenda RM100, dakwa diprovokasi tunjuk jari tengah

Iklan

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang tular dalam kejadian membaling kon di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Sabtu lalu, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pemandu warga Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, semasa rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili tertuduh, K Kanapathi, 35, berkata, anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu lori, bertindak sedemikian kerana telah diprovokasi oleh mangsa yang menunjukkan jari tengah.

Iklan
Iklan

“Disebabkan perkara itu, dia hilang sabar dan bertindak membaling kon tetapi sekarang dia insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama, selain itu merupakan kesalahan pertamanya.

“Saya merayu dia dikenakan hukuman ringan kerana anak guam saya perlu menanggung isteri dan anak yang masih kecil,” katanya.

Iklan

Kanapathi dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu bagi menghadapi satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pemandu warga Amerika Syarikat, Sabtu lalu.

Seorang lagi peguam, M Partiben berkata, ekoran video yang tular, bapa kepada dua anak itu direman selama dua hari, sekali gus menjadi pengajaran kepadanya.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Syafiq menasihati tertuduh agar mengawal emosi dan sentiasa bertolak ansur ketika memandu di jalan raya.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan berkelakuan kurang sopan dengan cara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lelaki warga asing untuk mengaibkan dan membangkitkan kemarahan, dengan mengganggu keamanan.

Kesalahan dilakukan pada jam 5.25 petang di Plaza Tol LDP dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan tindakan seorang pemandu yang bertindak agresif dengan memberhentikan kenderaan di tengah kesesakan lalu lintas sebelum membaling kon serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemandu lain.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berasal dari Kuala Lumpur itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya jam 11 pagi, Selasa.

Wan Azlan berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham di jalan raya apabila suspek yang memandu Perodua Axia merah cuba memasuki lorong Touch 'n Go sebelum hampir bergesel dengan sebuah Perodua Myvi yang dipandu warga asing itu.