Op Selamat 25: 3,148 kawasan ‘hot spot’ rondaan cegah jenayah dikenal pasti

Iklan
Mohd Yusri (tengah) dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Rabu.

SUNGAI BULOH - Sebanyak 3,148 kawasan ‘hot spot’ di seluruh negara dikenal pasti sebagai tumpuan rondaan pencegahan jenayah sempena pelaksanaan Op Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu akan dilaksanakan bermula Ahad hingga Jumaat.

Iklan
Iklan

"Op Selamat 25 turut memberi penekanan serius terhadap pencegahan jenayah pecah rumah berikutan kebimbangan terhadap kediaman yang ditinggalkan kosong apabila orang ramai pulang ke kampung halaman," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, pihaknya telah menggerakkan sepenuhnya elemen Unit Kenderaan Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan rondaan pencegahan jenayah dilaksanakan secara berterusan dan berfokus.

Iklan

“Sebanyak 2,670 unit MPV dan URB (1,800 unit) melibatkan 6,543 anggota polis akan digerakkan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata, rondaan akan dijalankan 24 jam secara syif bergilir meliputi 1,129 kawasan rondaan di seluruh kontinjen.

Iklan

“Fokus rondaan tertumpu di taman perumahan, premis perniagaan, pusat ibadat, sekolah serta kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ berdasarkan analisis Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS).

“Menerusi analisis terkini SPBS, Selangor merekodkan sebanyak 764 kawasan ‘hot spot’, diikuti Kuala Lumpur dengan 446 kawasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keberkesanan rondaan pencegahan jenayah amat bergantung kepada kerjasama orang ramai.

“Analisis kes menunjukkan kebanyakan kes pecah rumah melibatkan kediaman yang penghuninya tidak membuat laporan pergerakan kepada pihak polis," katanya.

Mohd Yusri turut menyeru orang ramai supaya proaktif melaporkan pergerakan mereka sama ada di balai polis berhampiran atau secara dalam talian menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

"Maklumat berkenaan amat penting bagi membolehkan polis merancang penugasan dan rondaan dengan lebih efisien," katanya.