ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Ahad memutuskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada 2023.
Tuduhan itu berkaitan dakwaan Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan menyeleweng wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 serta kos RM70,000 kepada Sanusi.
Dalam penghakimannya, mahkamah membenarkan tuntutan Sanusi selaku plaintif berhubung kenyataan REE dan MARRIS yang dibuat Saifuddin selaku defendan.
“Mahkamah dapati perkataan ‘pencuri’ memberikan impak jenayah ke atas kenyataan yang dibuat. Keseluruhan kenyataan itu bermula dengan operasi polis yang berterusan untuk menangkap pelaku kecurian REE.
“Mahkamah juga mendapati kenyataan MARRIS merujuk kepada plaintif. Maksud memfitnah frasa ‘menyalahi semua tata kelola kewangan kerajaan’ dengan jelas mengimputasikan plaintif melakukan salah urus kewangan, di mana defendan menguatkan perkara itu dengan memetik Ketua Audit Negara,” katanya.
Sanusi diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yussof, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar, manakala pihak defendan diwakili peguam Navpreet Singh, William Leong dan Sakina Siraj.
Mahkamah turut memerintahkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka yang perlu diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.
Selain itu, terma permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akhbar utama serta mendapat kelulusan Sanusi terlebih dahulu.
Mahkamah turut mengekalkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya mengulangi kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan wang peruntukan MARRIS pada masa hadapan, berkuat kuasa serta-merta.
Pada 3 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu menuduhnya mencuri REE di Kedah dan menyeleweng peruntukan MARRIS.
Dalam pernyataan tuntutannya, Sanusi menyatakan Saifuddin membuat kenyataan fitnah itu ketika menyampaikan ceramah pada 15 Julai 2023, dengan menuduhnya selaku Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik.
Beliau turut mendakwa pada majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sehari sebelum itu, Saifuddin menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS.