'Kami kehilangan adik yang baik, arwah jaga ayah sakit'

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan membabitkan mangsa.

BALING - ‘Pemergian’ seorang lagi peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang maut selepas kemalangan ketika dalam perjalanan ke Terengganu disifatkan sebagai kehilangan besar buat keluarga.

Kakak mangsa, Rozaini Abu Aziz, 45, berkata, kehilangan adik bongsu daripada empat beradik, Roziman, 36, sangat dirasai memandangkan sikapnya yang sentiasa membantu serta disenangi semua.

Iklan
Iklan

“Kami kehilangan adik yang sangat baik. Dalam tempoh lima bulan ini, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga bapa, Abu Aziz Che Ahmad, 72, yang uzur.

“Malah emak beritahu, sebelum bertolak ke Terengganu, dia masih sempat mengurut kaki ayah,” katanya.

Iklan

Menurut Rozaini, biarpun sibuk bertugas sebagai pelukis pelan di Pejabat Daerah Baling, arwah tetap pulang setiap hari untuk menjenguk kedua-dua ibu bapa.

“Apa sahaja ayah atau emak minta, adik akan dahulukan. Jika ayah hendak makan kuetiau, dia akan masak sendiri untuk mereka,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Rozaini menafikan arwah terlibat dalam aktiviti merempit kerana sebagai penjawat awam, mustahil adiknya melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

“Adik memang minat menyertai Program Himpunan RXZ, malah hampir setiap tahun pergi bersama sepupu dan rakan sekampung.

“Kami terkejut apabila menerima berita kemalangan kira-kira jam 9 pagi semalam dan tidak menyangka arwah pergi buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Sementara itu, sepupu arwah, Mohamad Fakrulrazi Abu Hassan, 21, berkata, mereka seramai 11 orang terdiri daripada saudara-mara serta rakan sekampung bertolak dari Baling sekitar jam 7 pagi dalam keadaan santai dan tidak laju.

“Setiap tahun kami pergi, dan tahun ini dia sangat gembira kerana berpeluang ke sana dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ baharu yang dihadiahkan kakaknya,” katanya.

Namun katanya, nasib Roziman tidak baik apabila tiba di selekoh motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya berada di belakang motosikalnya dan sempat mengajarnya mengucap,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman dalam kenyataan sebelum ini berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Jumaat, mangsa yang menunggang dari arah Gerik menuju Jeli dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian kanan bampar besi sebuah treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 44 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Roziman disahkan meninggal dunia sekitar jam 4 petang di Hospital Gerik, Perak.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Che Mas, Baling selepas solat Isyak.