PEKAN - Seorang pemuda berusia 19 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran sangkar ikan patin di Kampung Tebat Paloh Hinai di sini pada Isnin.
Mangsa, Mohamad Yusof Abdullah, yang bekerja sendiri hilang dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang nelayan yang berada di lokasi kejadian.
“Hasil temu bual bersama keluarga mengesahkan mangsa mempunyai sejarah sawan.
"Dia dipercayai diserang sawan ketika berada di tebing sungai sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan pada jam 4 petang di kawasan Pam Pasir Kampung Tebat bagi menyelaraskan misi pencarian.
Jelasnya, operasi itu melibatkan 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan dua buah bot.
"Pasukan penyelamat menjalankan pencarian awal merangkumi kawasan mangsa terjatuh, tebing sungai dan sekitar sangkar ikan.
“Namun mangsa masih belum ditemui dan pencarian akan disambung hari ini dengan radius sehingga 2 kilometer dari lokasi terakhir dilihat,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hisham Mohd Yusoff di talian 013-9390079 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.