MACHANG – Seorang wanita yang dipercayai hamil pada peringkat awal kandungan maut selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Banggol Petai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, mangsa, Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23, yang merupakan penumpang hadapan sebuah kereta Proton Wira, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Suaminya, Mohd Khairil Akmal Md Rahim, berusia 20-an, hanya mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan II Ahmah Syauqi Afiq Che Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.54 tengah malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira empat kilometer.
Katanya, setibanya pasukan pada jam 1.01 pagi, pemeriksaan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero.
“Mangsa lelaki berusia 20-an yang memandu Proton Wira cedera ringan manakala mangsa wanita tersepit di bahagian dalam kereta.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan sebuah jentera dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.39 pagi,” katanya.