KUALA LUMPUR – Seorang wanita dipercayai gelandangan ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sentul, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menerima maklumat kejadian tersebut pada jam 7.20 pagi.
"Sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-60an telah terbaring dalam keadaan berdarah di bahagian kepala.
"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Sukarno berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter di bahagian kepala sebelah kanan atas telinga selain bengkak pada kelopak mata," katanya.
Tambahnya, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 46 tahun bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut akan diteruskan selepas reman ke atas suspek diperoleh," ujarnya.