Pelaku Jalur Gemilang terbalik perlu dihukum, elak kejadian berulang - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (depan, lima dari kiri) mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Khamis.

PONTIAN – Pihak yang bertanggungjawab dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini sehingga tular di media sosial perlu segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting bagi meredakan kebimbangan rakyat sekali gus mengelakkan perkara sama berulang di tempat lain.

Iklan
Iklan

“Kalau dibiarkan tanpa tindakan, ia boleh berjangkit ke tempat lain dan menimbulkan keresahan masyarakat.

“Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) sudah menutup premis itu selama 30 hari, namun proses seterusnya perlu disegerakan termasuk mendakwa pihak terlibat,” katanya selepas mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Khamis.

Iklan

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan insiden berkenaan bukan isu perkauman, sebaliknya melibatkan soal ketelitian dalam hal berkaitan patriotisme.

Beliau berkata, perkara itu perlu segera ditangani bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk apabila tular di media sosial.

Iklan

“Ini bulan kemerdekaan, kita harap perkara seperti ini tidak lagi berlaku. Semua pihak harus lebih teliti kerana isu ini menyentuh semangat patriotik rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian pekerja klinik dan tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina simbol kebangsaan.