Klinik gigi kibarkan Jalur Gemilang terbalik diarah tutup 30 hari

Iklan
Klinik gigi yang mengibarkan Jalur Gemilang dikenakan notis penutupan 30 hari MPPn

PONTIAN – Sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu sehingga tular di media sosial.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan telah diserahkan kepada klinik berkenaan pada kira-kira jam 8.20 pagi, Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.

“Setiap premis yang dilesenkan atau tidak dilesenkan di bawah UUK ini diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah yang betul bagi tempoh tertentu termasuk sambutan Hari Kebangsaan.

Iklan

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Beliau berkata, pemilik premis masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.

Iklan

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal menzahirkan rasa kecewa apabila insiden Jalur Gemilang terbalik kembali berulang, kali ini membabitkan sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian.

“Kita terkejut dan tidak menyangka perkara ini akan berulang, apatah lagi melibatkan sebuah premis pergigian.

“Insiden ini amat mengecewakan pentadbiran daerah. Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat lebih berhati-hati supaya perkara sebegini tidak lagi berulang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor supaya memastikan bendera dipasang dengan sempurna dan tidak terbalik.

“Jika tidak pasti, mereka boleh merujuk kepada sumber melalui pelbagai kaedah termasuk media sosial atau mendapatkan panduan daripada pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 33 saat yang memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini.