SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan ke atas serangan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dijalankan secara telus dan segera.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika negara masih belum reda daripada isu gejala buli di sekolah sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatan masyarakat.
"Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.
"Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri saudara Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera.
"Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Anwar turut mendoakan kesejahteraan Rafizi serta keluarganya dan berharap mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
Sebelum ini, anak Rafizi diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat membeli belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang Rabu.
Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.
Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan itu.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya amat terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut sambil mendoakan agar mangsa segera pulih serta keluarga kekal tabah menghadapi dugaan berkenaan.
"Kanak-kanak sama sekali tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan. Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh semua pihak," katanya.
Tambah Fuziah, PKR menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pelaku membawa ke muka pengadilan selain memastikan keselamatan dan perlindungan rakyat khususnya kanak-kanak sentiasa terjamin.