Azam Baki perlu direhatkan serta-merta sementara siasatan - Syahir

Iklan
Syahir

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu direhatkan serta-merta, sementara siasatan dijalankan bagi membolehkan ia dilakukan secara telus.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam soal integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hendaklah bersikap tegas, konsisten dan bertindak tanpa kompromi.

"Selain itu, disarankan juga notis pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 diserahkan kepada beliau.

Iklan

"Dalam masa sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu tampil memberi penjelasan berhubung pematuhan pekeliling serta larangan penjawat awam berkaitan pemilikan saham dan potensi konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Iklan

Laporan itu menjadi pendedahan awam terbaharu mengenai pegangan saham atas nama beliau sejak kontroversi beberapa tahun lalu yang mencetuskan gesaan supaya beliau meletakkan jawatan.

Syahir turut mengingatkan bahawa agensi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Peguam Negara (AG) merupakan tonggak kepercayaan negara.

Jelasnya, integriti institusi pengawal ‘sendi’ negara itu mesti dijunjung pada tahap tertinggi.

"Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri yang mempertahankan Azam Baki dengan ungkapan, 'baca penjelasan Azam Baki dia buat kerja, buat apa maki dia' amat dikesali.

"Sedangkan dalam hal ini, kepercayaan rakyat terhadap ‘tatakelola’ negara hendaklah dipulihkan. Langkah reformasi dan pemulihan hanya dapat dilaksanakan melalui tindakan yang tegas, telus dan berprinsip di pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri," katanya.