Bersih sedia bekerjasama dengan Rafizi gerakkan himpunan aman SPRM

Iklan
Faisal

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sedia bekerjasama dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi menggerakkan satu himpunan aman berhubung isu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan media antarabangsa Bloomberg.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz menyifatkan perkara berkenaan sebagai isu besar yang memerlukan gerakan rakyat bagi memastikan SPRM benar-benar bersih dan berfungsi secara bebas serta berintegriti.

Iklan
Iklan

"Secara prinsip Bersih bersedia untuk bekerjasama menggerakkan himpunan aman ini, ia isu besar yang memerlukan gerakan rakyat untuk memastikan SPRM benar-benar dibersihkan.

"Tuntutan Bersih jelas, siasatan bebas perlu dilakukan dan kerajaan harus laksanakan agenda reformasi SPRM segera," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat bekas Rafizi yang dilaporkan akan menulis kepada Bersih bagi mencadangkan agar gabungan itu memimpin satu demonstrasi awam berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan SPRM.

Menurut beliau, tindakan lanjut berhubung penganjuran himpunan itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Iklan

"Bersih akan adakan pertemuan bersama rakan-rakan gabungan dalam masa terdekat untuk bincang secara terperinci berkaitan tindakan termasuk perhimpunan yang bakal dianjurkan nanti," katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Bloomberg mengeluarkan laporan berhubung pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang didakwa mencecah jutaan unit.

Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu. Beliau juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.