PUTRAJAYA – Proses tindakan berkaitan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan tidak dilakukan oleh individu secara perseorangan, sebaliknya dilaksanakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
"Perdana menteri ada mengambil maklum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dan juga mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor yang telah diadakan semalam khusus berkait isu pengurusan rumah-rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan tuan tanah, PBT dan kerajaan negeri, sekiranya melibatkan tanah persendirian ataupun tanah kerajaan.
"Yang berhormat Perdana Menteri menegaskan bahawa proses tindakan bukan oleh orang perseorangan tetapi bersama dengan PBT," katanya ketika sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet pada Khamis.
Terdahulu, Kerajaan Selangor menyarankan tiga langkah segera berkaitan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
Tiga langkah berkenaan merupakan pemilik tanah perlu membuat laporan polis bagi membolehkan pihak polis menyiasat, notis rasmi perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan Pejabat Daerah dengan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) diaktifkan untuk meneliti perkara itu dan langkah ketiga JKD bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkaitan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri menyambut baik kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai penyelarasan proses terutama di peringkat PBT.
"Insya-ALLAH ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik," katanya.