ADIDAS terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena larian dengan memperkenalkan model terbaharu, Adizero Evo SL yang kini menjadi sebutan dalam kalangan peminat sukan itu.
Kasut ini dilihat mampu menawarkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan, sesuai digunakan sama ada untuk latihan harian, larian tempo mahupun acara jarak jauh.
Di pasaran Malaysia, model berwarna putih dengan kod JH6206 ini dijual pada harga RM669 dan hadir dengan reka bentuk minimalis yang cukup ringan.
Bahagian midsole menggunakan teknologi Lightstrike Pro sepenuhnya – busa berprestasi tinggi yang sebelum ini hanya digunakan pada kasut larian elit – sekali gus memberi rasa tolakan tenaga yang responsif tanpa memerlukan plat karbon.
Beratnya pula sekitar 224 gram bagi saiz US lelaki 9.5, menjadikan ia antara kasut larian paling ringan dalam kelasnya.
Bahagian atas kasut menggunakan material nipis yang bernafas, memberi keselesaan walaupun dipakai untuk tempoh panjang. Ramai pelari memuji tahap keselesaan dan pantulan energinya, malah ada yang menyifatkannya sebagai ‘daily trainer’ yang jarang ditemui – cukup pantas tetapi masih empuk.
Pengalaman larian di jalan raya mahupun treadmill dikatakan lancar dengan cengkaman outsole yang baik, manakala ketinggian tapak 38 milimeter di tumit dan 32 milimeter di bahagian depan memberikan kusyen mencukupi untuk menampung hentakan.
Namun, beberapa pelari mengakui kasut ini kurang sesuai untuk mereka yang memerlukan tahap kestabilan tinggi, terutama bagi yang mempunyai masalah overpronasi.
Ada juga yang berpendapat ketahanan outsole dan bahagian lidah kasut agak sederhana jika dibandingkan dengan model lain dalam siri Adizero.
Walaupun begitu, dari sudut prestasi dan nilai harga, Adizero Evo SL tetap menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mahukan kasut ringan, responsif dan mampu beraksi dalam pelbagai jenis larian.
Dengan gabungan teknologi terkini dan harga yang masih dianggap berpatutan, model ini dijangka menjadi antara produk tumpuan pelari tempatan menjelang musim perlumbaan akan datang.