SAN FRANCISCO – Dalam dunia teknologi yang berubah dengan pantas, nama Sam Altman muncul sebagai antara tokoh paling berpengaruh yang membentuk hala tuju kecerdasan buatan (AI) global.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI ini menjadi wajah utama di sebalik teknologi perisian seperti ChatGPT dan DALL-E yang merevolusikan interaksi antara manusia dan mesin.
Dilahirkan pada 22 April 1985 di Chicago, Amerika Syarikat (AS), Samuel Harris Altman dibesarkan di St Louis, Missouri.
Sejak usia muda, beliau menunjukkan minat mendalam terhadap komputer dan sains pengkomputeran.
Ketika remaja, beliau bersekolah di institusi persediaan terkenal, John Burroughs dan kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer di Universiti Stanford.
Bagaimanapun, Altman mengambil keputusan untuk meninggalkan Stanford selepas dua tahun.
Beliau mendakwa banyak pembelajaran penting dalam hidupnya datang bukan dari kuliah universiti, tetapi daripada permainan poker (permainan daun terup).
“Poker mengajar saya untuk mengenal pola dalam tingkah laku manusia dan membuat keputusan dengan maklumat yang tidak lengkap. Ia satu permainan yang sangat bermanfaat,” katanya.
Perkukuh reputasi
Tahun 2005 menyaksikan Altman mengasaskan Loopt, sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna berkongsi lokasi masa nyata dengan rakan-rakan.
Loopt merupakan antara syarikat terawal yang menerima pembiayaan daripada Y Combinator, sebuah firma pemecut syarikat pemula (start-up accelerator) terkemuka di Silicon Valley.
Walaupun Loopt tidak mencapai kejayaan besar, ia akhirnya dijual kepada Green Dot pada nilai AS$43 juta (RM182 juta).
Langkah Altman seterusnya membawanya kembali ke Y Combinator, kali ini sebagai rakan kongsi dan kemudian dilantik sebagai Presiden pada 2014.
Di bawah pentadbirannya, Y Combinator melahirkan banyak syarikat pemula berimpak tinggi seperti Airbnb, Reddit, Twitch dan DoorDash.
Beliau mengukuhkan reputasi syarikat itu sebagai landasan utama kejayaan teknologi baharu.
Kemuncak kerjaya Altman bermula pada 2015 apabila beliau menubuhkan OpenAI bersama tokoh-tokoh lain termasuk Elon Musk dan Peter Thiel.
Misi utama mereka adalah untuk memastikan AI dibangunkan secara selamat dan memberi manfaat kepada seluruh manusia.
“Projek Manhattan adalah setara dengan cita-cita kami di OpenAI. Kami mahu impak yang besar kepada dunia,” katanya, merujuk kepada projek pembangunan senjata nuklear semasa Perang Dunia Kedua.
OpenAI mencapai kejayaan besar apabila memperkenalkan model bahasa GPT (Generative Pre-trained Transformer) termasuk DALL-E dan ChatGPT.
Teknologi paling berkuasa
ChatGPT, yang dilancarkan pada akhir 2022 mencetuskan ledakan global apabila berjaya menarik lebih sejuta pengguna hanya dalam tempoh lima hari.
Kejayaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin dunia terhadap potensi penyalahgunaan AI.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan arahan eksekutif berkaitan AI manakala Britain menganjurkan sidang kemuncak keselamatan AI yang turut dihadiri Altman.
Namun, kerjaya beliau diuji apabila dipecat secara tiba-tiba oleh lembaga pengarah OpenAI pada 17 November 2023.
Penyingkiran itu mencetuskan krisis dalaman dengan majoriti kakitangan mengugut untuk meletak jawatan sekiranya jawatan Altman tidak dikembalikan.
Empat hari kemudian, beliau kembali menerajui OpenAI selepas majoriti ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan dan digantikan dengan pasukan baharu.
“AI akan menjadi teknologi paling berkuasa yang pernah dibangunkan oleh manusia. Cara kita menggunakannya akan menentukan masa depan kita,” tegas Altman pada Forum Keselamatan AI di London.
Hari ini, pada usia 40 tahun, Sam Altman berdiri megah sebagai tokoh teknologi global yang bukan sahaja menerajui pembangunan AI, tetapi juga mengangkat wacana tentang tanggungjawab, keselamatan dan masa depan manusia dalam era digital. - Agensi