Orang ramai sanggup berpanas, berhujan tunggu perkembangan bedah siasat Zara Qairina

Iklan
Beberapa orang penghantar makanan setia menanti di pekarangan Jabatan Forensik HQEI, Kota Kinabalu pada Ahad.

KOTA KINABALU - Dari berkeringat disebabkan panas terik sehingga basah kuyup dek kerana hujan lebat orang ramai masih setia menanti di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini pada Ahad.  

Itu keadaan yang dapat digambarkan apabila mereka masih tidak berganjak untuk menanti perkembangan lanjut proses bedah siasat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Iklan
Iklan

Seawal jam 8 pagi orang ramai telah hadir ke lokasi dan jumlahnya semakin bertambah hingga mencecah kira-kira 100 orang. 

Setakat jam 5 petang, mereka masih setia menunggu jenazah Zara Qairina di bawah keluar selepas proses bedah siasat dijalankan. 

Iklan

Turut kelihatan sekumpulan pekerja penghantar makanan yang sejak pagi tidak berganjak berada di hadapan pekarangan Jabatan Forensik. 

Menurut Ubayy Hidayat Ahmad Lasdin, 30, tidak kisah 'hilang rezeki' untuk hari ini dan bertahan demi menyatakan solidariti serta mengikuti perkembangan proses berkenaan. 

Iklan

"Saya ada anak dan saya ada adik perempuan, jadi kes ini terkesan kepada saya. 

"Sebab itu saya tidak kisah hilang RM100 untuk hari ini, malah sejak semalam saya telah datang ke sini untuk 'menyambut' adik Zara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Jabatan Forensik, HQEI, di sini. 

Katanya, dengan cara sedemikian dapat memberi tahu kepada dunia bahawa buli bukan sesuatu yang boleh dinormalisasikan terutama di sekolah. 

"Saya mahu sistem pendidikan kita menjadi lebih baik dengan memberi kesedaran terhadap buli.

"Atas sebab itu kami berkumpul di sini walaupun tadi panas terik sekarang hujan lebat, kami sanggup basah kuyup," katanya.