Pertikaian peribadi isu tanah, laluan lori punca pacuan empat roda langgar motosikal - Polis

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah pacuan empat roda melanggar motosikal di Kampung Sungai Jernih, Kajang pada Khamis.

KAJANG - Pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di Kampung Sungai Jernih di sini dikenal pasti sebagai punca insiden tular membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melanggar motosikal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu pada jam 11.41 pagi, Khamis.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada rentetan perselisihan faham antara dua pihak yang berlaku pada Khamis.

"Motif kejadian ialah berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, susulan insiden itu, polis telah menerima dua laporan berasingan di bawah klasifikasi Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis menjalankan tangkapan ke atas dua lelaki membabitkan seorang warga tempatan dan warga asing berusia 30 dan 34 tahun bagi laporan pertama.

Iklan

Katanya, bagi laporan kes kedua, polis menahan tiga lelaki tempatan berumur 24 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

"Suspek dalam laporan kes pertama merupakan pengadu bagi laporan kes kedua, manakala pengadu kes kedua pula merupakan suspek dalam kes pertama," ujarnya.

Shazeli menegaskan, insiden itu berpunca daripada perselisihan faham peribadi dan sama sekali tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," ujarnya.

Tambah beliau, polis akan mengambil tindakan berlandaskan perundangan terhadap sesiapa juga yang melakukan tindakan yang menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.