Proses bedah siasat Zara Qairina dijangka selesai petang ini - Peguam

KOTA KINABALU - Proses bedah siasat jenazah Zara Qairina Mahathir dijangka selesai sekitar jam 5 petang Ahad.
Ketika ini, proses masih dijalankan oleh pasukan pakar patologi forensik di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Peguam, Hamid Ismail memaklumkan bahawa sebaik sahaja proses itu selesai, jenazah akan dibawa terus ke Sipitang untuk pengebumian.
"Proses bedah siasat masih lagi dijalankan. Jadi kemungkinan akan habis dalam tempoh satu jam setengah ataupun dua jam menurut maklumat. Tapi kita harap lebih awal. Namun, terpulang kepada proses bedah siasat.
"Insya-ALLAH akan selesai dalam tempoh petang ini. Selesai sahaja, jenazah akan dibawa terus ke Sipitang untuk pengebumian semula. Kalau malam, malamlah," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HQEI di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai proses tersebut, Hamid berkata, pasukan terlibat masih menjalankan bedah siasat dan seperti dimaklumkan sebelum ini, rakan sepasukan Shahlan Jufri berada di dalam sebagai saksi proses tersebut.
"Ibu Zara berada di dalam bersama adik dan abangnya.
"Shahlan sebagai wakil bertujuan mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak baik. Begitu juga pemerhati dari luar bilik bedah termasuk pihak polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
