388 individu terlibat sindiket judi dalam talian diberkas

Iklan
Kumar

KUALA LUMPUR - Seramai 388 individu yang terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian diberkas menerusi serbuan Op Angsa di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bermula jam 2.30 petang melibatkan 17 premis perniagaan dan kediaman yang dijalankan secara serentak.

Iklan
Iklan

"Sasaran operasi adalah individu dan syarikat yang dipercayai menjalankan aktiviti membangunkan sistem 'backoffice', platform perjudian dalam talian serta membangunkan promosi judi bagi pasaran dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kumar berkata, pecahan tangkapan terdiri daripada 236 lelaki dan 152 wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun.

Iklan

"Berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri, lapan individu adalah warga asing iaitu empat dari Indonesia, dua dari Thailand dan masing-masing seorang dari Vietnam dan Singapura," katanya.

Beliau berkata, operasi itu disertai seramai 372 melibatkan 104 pegawai kanan dan 268 pegawai rendah polis dari pelbagai elemen di dalam JSJ diterajui Bahagian (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan, Bukit Aman.

Iklan

"Dalam serbuan yang sama, kita berjaya merampas pelbagai perkakasan dan peralatan yang disyaki digunakan dalam membangunkan platform perjudian dalam talian.

"Turut dirampas dua buah kenderaan mewah jenis Lamborghini dan BMW serta beberapa utas jam tangan mewah pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan dibenarkan reman di antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan.

"Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka iaitu empat di Pulau Pinang, dua di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a)/ 4B(b)/ 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.

Kumar menambah, siasatan akan diteruskan termasuk menjurus kepada tanggungan pemegang-pemegang jawatan dalam pertubuhan atau syarikat selaras peruntukan Seksyen 20A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.