PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mengeluarkan dokumen yang kini tular di aplikasi pemesejan dan e-mel peribadi, kononnya berkaitan siasatan kes penyebaran pornografi kanak-kanak.
Menurut SPRM, dokumen berkenaan didapati menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), selain mencantumkan logo rasmi serta alamat Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi tujuan penipuan.
“SPRM ingin menegaskan bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak kami.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang e-mel, mesej atau dokumen yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
SPRM turut menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat menerusi saluran rasmi yang disediakan.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disemak menerusi laman sesawang www.sprm.gov.my, Facebook rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan talian bebas tol 1-800-88-6000.
“SPRM menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran dokumen palsu ini serta melaporkannya kepada pihak berkuasa jika menerima sebarang mesej seumpamanya,” katanya.
Terdahulu, tular satu notis yang didakwa berkaitan siasatan penyebaran pornografi kanak-kanak di media sosial.