Pendekatan silo agensi kerajaan perlu diubah – KSN

Iklan
Tiga dari kiri: Azman, Shamsul Azri dan Mohammed Azman bergambar bersama wakil rakan strategik pada Kongres Social Synergy 2025 di sebuah hotel, di sini pada Selasa.- FOTO:MOHD HALIM ABDUL WAHI

KUALA LUMPUR – Pendekatan silo atau ‘kepompong’ dalam kalangan agensi kerajaan perlu diubah kepada sistem kolaboratif bagi menjayakan agenda perlindungan sosial yang berimpak tinggi dan menyeluruh.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan ini selaras dengan aspirasi kerajaan Madani yang menekankan dasar sosial berteraskan rakyat dan lebih manusiawi.

Iklan
Iklan

“Program Social Synergy ini bukan sekadar slogan, tetapi mencerminkan ikhtiar strategik kerajaan untuk mengimbangi pembangunan material dengan kesejahteraan insan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Social Synergy 2025, di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Norashiken Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah SWRC Universiti Malaya, Profesor Datuk Norma Mansor.

Iklan

Kongres anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) bersama tiga rakan strategik bagi memantapkan ekosistem perlindungan sosial negara.

Tiga organisasi terbabit ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan One Hope Welfare & Charity.

Iklan

Melalui kerjasama tersebut, beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuk penyaluran bantuan rentas agensi, pemadanan data secara bersasar dan pemerkasaan modal insan melalui pembangunan kemahiran dan sokongan sosioekonomi.

Shamsul Azri (dua dari kiri) melawat reruai pada Kongres Social Synergy 2025 di sebuah hotel.

Shamsul Azri berkata, kejayaan pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan, malah memperkukuh keupayaan agensi pelaksana dalam menyampaikan perkhidmatan secara lebih cekap dan bersepadu.

Beliau turut memetik statistik eKasih ICU JPM setakat 31 Disember 2024 yang merekodkan lebih 390,000 ketua isi rumah dikategorikan sebagai miskin, termasuk hampir 1,800 ketua isi rumah miskin tegar.

Sehubungan itu, beliau berkeyakinan kerjasama merentas 117 agensi bersama penyertaan 862 pemimpin masyarakat seluruh negara dapat memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni.

Kongres edisi ketiga itu yang disertai lebih 400 peserta mengangkat tema ‘Budaya atau Proses’ yang bertujuan mengupas kepentingan menggabungkan budaya kemanusiaan dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, pendekatan bersepadu antara agensi yang dipelopori sejak 2017 itu terbukti berjaya memperkasa sistem penyampaian bantuan serta membanteras ralat penyisihan dalam kalangan penerima bantuan.

“Social Synergy yang bermula sebagai inisiatif PERKESO kini menggabungkan 117 agensi serta 862 pemimpin masyarakat dengan 979 kolaborasi seluruh negara.

“Sehingga Julai lalu, seramai 44,998 prospek disalurkan untuk menerima bantuan pelbagai agensi,” katanya

Beliau berkata, kongres itu bukan sekadar medan pertemuan fizikal, sebaliknya menjadi lambang kesatuan pelbagai pihak dalam menoktahkan kemiskinan tegar dan memperkukuh sistem keselamatan sosial negara.

“Kami percaya bahawa keadilan sosial bukan lagi angan-angan jika kita mampu mengetepikan sempadan birokrasi dan mengutamakan nilai empati serta kemanusiaan dalam pentadbiran,” katanya.

Katanya lagi, Program Social Synergy memberi nilai tambah apabila setiap agensi bukan sahaja berperanan sebagai penyampai bantuan, malah menjadi mata dan telinga dalam mengenal pasti prospek yang memerlukan, termasuk waris pencarum PERKESO.