GENTING GAZA – Krisis kebuluran yang melanda Genting Gaza kini berada di tahap paling kritikal, dengan agensi bantuan kemanusiaan memberi amaran bahawa 'tingkap untuk menyelamatkan nyawa semakin tertutup' dan ramai penduduk melihat langkah yang baru dibuat agensi bantuan 'sudah terlambat'.
Menurut laporan NBC News, keadaan di Gaza yang digempur bertalu-talu oleh tentera Israel serta sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan yang berterusan menyebabkan kebuluran melarat khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah Kanan Kecemasan bagi Komiti Penyelamat Antarabangsa (IRC) bepangkalan di Amerika Syarikat (AS), Kiryn Lanning berkata, krisis ini bukan sahaja meragut nyawa dalam masa terdekat, malah bakal meninggalkan kesan kesihatan berpanjangan terhadap generasi akan datang.
“Kesihatan dan kelangsungan hidup seluruh generasi masa depan kini terancam,” katanya.
Salah seorang mangsa kebuluran, Lana Salih Juha, 5, dari Bandar Gaza hanya seberat lapan kilogram akibat malnutrisi yang teruk.
Keadaan kesihatannya semakin merosot dan keluarganya merayu bantuan segera.
Pakar pediatrik dan pakar rawatan rapi di Hospital Nasser, Khan Younis, Dr Ahed Jabr Khalaf berkata, beberapa kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran sejak beberapa minggu lalu.
"Gaza sedang berdepan bencana kesihatan besar-besaran," ujarnya.
Amaran itu disuarakan susulan kenyataan rasmi badan antarabangsa Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang mengesahkan senario kebuluran terburuk sedang berlaku di wilayah tersebut berikutan serangan ganas Israel dan sekatan kemanusiaan yang menyekat bekalan asas.
Presiden Pelarian Antarabangsa, Jeremy Konyndyk, menyatakan bahawa keadaan tersebut sudah mencapai 'titik kritikal'.
“Hari demi hari, laporan kematian akibat kelaparan terus meningkat. Hal ini bukan sahaja petanda bahaya, tetapi bukti tahap penderitaan penduduk Gaza kini di luar jangkauan biasa," katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, krisis kebuluran tersebut telah meragut sekurang-kurangnya 154 nyawa termasuk 89 kanak-kanak.
Data kematian akibat kelaparan dikemaskini secara harian sejak beberapa minggu lalu.
Seorang penyelidik kesihatan antarabangsa dari Universiti Johns Hopkins, Emily Keats percaya situasi tersebut akan terus meruncing sekiranya penduduk Gaza berdepan sekatan akses kepada makanan dan perkhidmatan kesihatan.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan keadaan di Gaza sebagai 'sukar', namun ia sekali lagi mendakwa Hamas sengaja mewujudkan persepsi krisis kemanusiaan.
Namun begitu, menurut pakar pemakanan dari London School of Hygiene & Tropical Medicine, Dr Marko Kerac, impak kebuluran terutama terhadap kanak-kanak berusia bawah lima tahun sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan perkembangan otak, pembelajaran dan kesihatan jangka panjang.
“Tempoh 1,000 hari pertama kehidupan adalah fasa pembangunan yang paling penting bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Jika tidak diberi rawatan segera, ia bakal memberi kesan jangka panjang,” tegasnya.
Tambahnya, perempuan yang mengalami kekurangan zat makanan ketika kecil juga berisiko melahirkan bayi pramatang atau tidak cukup berat, sekali gus mewariskan rantaian kesihatan buruk kepada generasi berikutnya.
Walaupun bantuan mula disalurkan secara terhad selepas tekanan antarabangsa, pakar-pakar mengingatkan ia masih tidak mencukupi.
“Jika tiada tindakan drastik sekarang, angka kematian akan terus meningkat,” kata Jeanette Bailey, Pengarah Penyelidikan Pemakanan IRC.
Menurut Keats, krisis tersebut akan terus menghantui Gaza untuk generasi akan datang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus menggesa agar akses kemanusiaan ke Gaza dibuka sepenuhnya bagi mengurangkan penderitaan penduduk Palestin yang dihujani bom sejak lebih 21 bulan lalu. - Agensi