Remaja ditahan selepas tembak guru, pelajar di Sekolah Hat Yai

Iklan
Pelajar perempuan keluar daripada tempat bersembunyian semasa kejadian tersebut berlaku.

BANGKOK – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menembak dan mencederakan guru wanita serta pelajar perempuan di sebuah sekolah, daerah Hat Yai, selatan Thailand.

Menurut kenyataan kerajaan wilayah, suspek memasuki Sekolah Patongprathankiriwat di Wilayah Songkhla dalam keadaan gelisah sebelum kejadian tembakan berlaku.

Iklan
Iklan

Komander polis, Teerasak Chaiyotha berkata, suspek mempunyai seorang kakak yang belajar di sekolah berkenaan, namun motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Guru wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan telah menjalani pembedahan sebelum kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Iklan

Sementara itu, seorang pelajar perempuan remaja ditembak di bahagian pinggang dan berada dalam keadaan stabil.

Gabenor wilayah, Ratthasart Chidchoo berkata, suspek sebelum itu menyerang seorang anggota polis dan melarikan sepucuk senjata api milik anggota berkenaan yang kemudian digunakan dalam kejadian tersebut.

Iklan

Beliau turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan terlarang dan pernah menerima rawatan di hospital psikiatri sebelum dibenarkan keluar pada Disember lalu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.