Wanita bakar kedai emas, cuba larikan barang perhiasan bernilai RM464,000

Iklan
Seorang wanita berusia 41 tahun bertindak nekad dengan membakar dan mencuri barang perhiasan emas di sebuah kedai di Indonesia.

JAKARTA – Seorang wanita berusia 41 tahun bertindak nekad dengan membakar dan mencuri barang perhiasan emas di sebuah kedai emas di Jalan Somba Opu, Makassar, dipercayai kerana terhimpit hutang, menurut kenyataan polis.

Kejadian berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Khamis di Kedai Emas Logam Mulia apabila suspek dikenali sebagai S, memasuki kedai berkenaan dengan berpura-pura ingin membeli emas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Makassar, Komisioner Arya Perdana, menjelaskan bahawa tindakan suspek bukan sekadar mahu mencuri, sebaliknya dia membawa sebotol petrol dari rumahnya bertujuan untuk membakar kedai berkenaan.

“Setelah berhasil mencuri, wanita itu menumpahkan petrol dan membakar kedai berkenaan. Pada ketika itu, suspek cuba melarikan diri sambil membawa perhiasan emas tersebut,” ujarnya.

Iklan

Polis bagaimanapun berjaya merampas sejumlah barang perhiasan emas yang dianggarkan bernilai 2 bilion rupiah (RM464,000) setelah suspek berjaya diberkas.

Saksi memaklumkan bahawa api hanya membakar lantai kedai dan tidak membakar kabinet penyimpanan emas secara keseluruhan, manakala orang ramai bersama pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan.

Iklan

Seorang saksi, Awal, 36, berkata, “Saya terkejut melihat wanita itu tiba-tiba menyalakan api setelah menyimbah minyak petrol di lantai.

"Dia kemudian keluar dari kedai ketika lantai sedang terbakar,".

Suspek bagaimanapun ditahan di lokasi kejadian dan kes kini disiasat di bawah undang-undang jenayah berkaitan pembakaran dan cubaan pencurian.

Polis menegaskan bahawa siasatan akan diteruskan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil demi keselamatan awam.-Agensi