JAKARTA – Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun ditahan polis selepas dipercayai membakar rumah bekas isterinya di Kampung Pareyaan, Desa Sumberkolak, Panarukan, awal bulan ini.
Suspek yang dikenali sebagai M didakwa bertindak demikian kerana menyimpan perasaan sakit hati dan tidak boleh melupakan wanita berkenaan susulan perpisahan mereka sejak Mei 2025.
Ketua Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Situbondo, AKP Agung Hartawan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan pada Rabu itu pada awalnya disangka sebagai kebakaran biasa.
Bagaimanapun, hasil siasatan dan pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan beberapa barangan milik suspek yang dipercayai tertinggal di tempat kejadian, termasuk sebuah motosikal jenis Honda,beg peribadi dan topi.
“Hubungan kedua-duanya telah retak sejak Mei tahun lalu dan mangsa dikatakan sering menerima gangguan daripada suspek.
"Mangsa juga terpaksa menumpang di rumah ibunya kerana berasa terancam,” kata AKP Agung Hartawan dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai mengambil kesempatan ketika mangsa tiada di rumah untuk melancarkan perbuatannya.
Saksi memaklumkan api mula dilihat dari ruang tamu sebelum merebak dengan pantas ke bahagian siling rumah.
Penduduk setempat bersama anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran melalui pintu belakang, namun sebahagian besar perabot rumah musnah.
Kerugian dianggarkan mencecah kira-kira 50 juta juta rupiah (RM11,604).
Suspek berjaya diberkas tidak lama selepas kejadian oleh pasukan polis Wilayah Tengah dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Fasal 308 ayat (1) Kanun Keseksaan Indonesia (UU No. 1 Tahun 2023) berkaitan perbuatan sengaja yang menyebabkan kebakaran serta membahayakan keselamatan awam.
Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 12 tahun. - Agensi