LIPIS - Penubuhan persatuan untuk bapa di negeri ini dialu-alukan bagi mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi memastikan golongan bapa diberi ruang menyuarakan pandangan serta keperluan mereka dalam pelbagai isu kekeluargaan.
"Sudah tiba masanya peranan bapa diketengahkan secara lebih sistematik, bukan sekadar sekilas dalam acara tahunan, sebaliknya melalui pendekatan berstruktur seperti pertubuhan rasmi.
"Kita sudah ada pelbagai persatuan untuk wanita, ibu tunggal, belia dan sebagainya. Jadi kenapa tidak ada satu persatuan khusus untuk bapa? Ini penting supaya suara mereka juga didengar dan peranan mereka dihargai,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang dengan tema 'Ayahku Kapten Keluarga' di Arena Jubli Perak di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, menerusi persatuan terbabit, pelbagai program sokongan boleh disusun termasuk bantuan kewangan, ceramah keibubapaan dan pembangunan sahsiah keluarga.
“Bapa ini jarang menangis tetapi hati mereka penuh dengan pengorbanan. Mereka kapten keluarga, memimpin rumah tangga, menjaga anak dan isteri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM) untuk keluarga yang mana RM141 juta telah disalurkan sejak lima tahun lalu.
"Ia disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan, meliputi ibu yang melahirkan anak; golongan pelajar; perkahwinan kali pertama hinggalah ke peringkat warga emas
"Untuk tahun ini sahaja, sebanyak RM50.54 juta ringgit diperuntukkan oleh kerajaan negeri dalam menjayakan inisiatif rakyat ini," katanya.
Jelasnya, inisiatif itu termasuklah bantuan dan pinjaman mikro yang membantu ramai ketua keluarga, terutamanya bapa-bapa di luar bandar dan kawasan Felda untuk bangkit semula.
Sebagai contoh beliau berkata, program I-Push yang memberikan pinjaman tanpa faedah telah membuka peluang kepada ribuan bapa untuk menjadi usahawan kecil.
"Mereka bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan, tetapi sudah mampu menjadi penyumbang ekonomi keluarga.
"Inilah yang kita mahukan, kapten yang berdaya tahan dan berdikari," tambahnya.